^^,


Saturday, April 16, 2011

AKU, CINTA & KAMPUS..


Aku masih ingat kala itu, di saat aku begitu gembira dapat lepas jauh dari jangkauan kedua-dua ibu bapaku. Inilah kebebasan yang aku impikan selama ini. Atas maksud belajar, aku dilepaskan pergi berbekal iman senipis kertas dan ilmu agama setitis dakw at.  
Tanpa aku sedar, iman dan ilmu yang begitu rapuh bakal mengundang padah diriku yang masih belum bersedia menongkah arus lautan maksiat yang begitu deras di kampusku.
Namun itu tidak bererti pada ku. Apa yang penting aku dapat mengecap kebebasan yang aku inginkan selamanya. Saat aku mengecap kebebasan itu, aku rasakan inilah manisnya dunia.
Pakaianku sudah berubah dari berbaju kurung sopan kepada fesyen gadis moden bergaya walaupun aku terpaksa menampakkan aset diriku yang dikhususkan untuk suamiku.
Namun aku tidak kisah. Aku tidak mahu digelar gadis kampung yang kolot dengan mengenakan pakaian sopan tersebut. Aku sekarang berada di bandar, tiada siapa yang akan menghiraukan apa yang aku lakukan walaupun bertentangan dengan agama.
Pergaulanku semakin bebas. Kalau dulu di sekolah, aku masih ingat, pengaulanku begitu terjaga. Jangankan hendak bercakap dengan lelaki, berjumpa pun aku sudah lari kerana malu. Jangankan hendak bersentuhan, jika aku ditenung lelaki pun aku sudah melenting kemarahan.
Namun kini keadaan sudah berbeza, aku tidak mampu membawa prinsip itu di kota besar ini. Lagi pula hati halus ini begitu ingin disayangi oleh insan bergelar lelaki. Terus aku biarkan sahaja keinginan kekasihku melakukan apa sahaja padaku.Apa yang pasti, pada saat itu aku begitu cinta dan sayang padanya.
Saat itu aku lupa pada penat lelah ayah yang membanting tulang berpeluh keringat berkerja menampung pelajaranku di sini. Aku sudah lupa pada jasa ibu yang menyabung nyawa melahirkan aku. Ya Allah, pasti luluh hancur hati ibu bapaku melihat apa yang aku lakukan saat ini.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Tahun berganti tahun. Kini aku sudah berada di tahun akhir pengajianku di kampus. Hari makin hari aku rasa bosan dengan kehidupan di sini, serabut dan bercelaru. Aku tidak tahu kenapa. Apa sahaja yang aku lakukan serba tidak kena. Aku rasa kosong. Cukup kosong.
Aku melakukan apa sahaja untuk memenuhkan kekosongan hatiku. Aku pergi ke pantai, shopping, karaoke, melancong, mendengar lagu, bersuka ria bersama teman dan apa sahaja cara untuk menghiburkan hati ku ini. Namun hari makin hari hati ku makin sengsara. Apabila aku ditanya tentang cinta. Aku melenting dan cukup marah.
Apa itu CINTA?
Aku sudah serik dengan cinta. Setelah segala keinginannya ku penuhi, dia telah pergi meninggalkan aku. Mencari adik-adik junior yang yang lebih segar untuk "diratah" seperti diriku.
Ya Allah, aku sangat menyesal atas perbuatanku. Ampunkanlah aku.
* * * * * * *
Mungkin ini adalah salah satu dari getusan hati kekesalan puluhan ribu gadis remaja yang hanyut dalam indah dan manisnya dunia. Mereka dibuai penuh asyik dengan hiburan, lelaki dan wang hanya untuk nikmat yang seketika. Hingga akhirnya mereka kecewa dipermainkan dunia dan oleh lelaki yang bertopengkan manusia.
Berapa ramai gadis yang jatuh di ribaan lelaki buaya darat atas janji manis yang palsu belaka sehingga gadis-gadis ini sanggup melakukan perbuatan yang sangat terkutuk di sisi agama hanya untuk menzahirkan cinta sejati mereka. Sedarlah saudari muslimatku. Seorang lelaki tidak akan memperisterikan seorang gadis yang telah dikecap madunya sebelum ikatan yang sah. Apatah lagi untuk menjadikan gadis "pakai buang" itu ibu pada bakal anak-anaknya nanti!!!
Duhai saudari muslimahku.
Aku tahu engkau telah menyesal atas tipu-daya dunia. Engkau tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Di mana perlu bermula untuk memperbaiki kekhilafan itu???
Wahai saudari muslimahku.
Walaupun seluruh dunia ini membencimu atas kesilapanmu dahulu. Namun percayalah engkau tidak bersendirian. Allah masih sentiasa bersamamu. Walaupun engkau datang bersama dosa sebesar bukit Uhud Allah tetap memaafkanmu. Hatta engkau datang bersama dosa selangit dan sebumi Allah tetap menantikanmu untuk memberikan keampunan sepenuh langit dan bumi. Percayalah, walau sebesar manapun dosamu dahulu Allah tetap akan mengampunkanmu.
Lupakah engkau pada cerita lelaki yang telah membunuh 100 orang manusia lantas dia bertaubat, terus Allah memasukkannya ke dalam syurga. Aku pasti dosamu tidaklah sebesar cerita lelaki di atas yang seperti yang termaktub dalam kitab hadis yang paling sahih (al-Bukhari).
Duhai saudariku,
Bertaubatlah dengan sepenuh hatimu. Hiasilah malammu dengan isak dan tangis memohon keampunan dari Rabbmu. Biarkan pipimu mengalirkan air mata taubat yang akan menjadi saksi di padang Mahsyar Allah nanti. Allah masih sayangkanmu wahai saudariku. Kerana itulah Allah yang maha Esa masih memberi denyut nadi untuk dirimu bernafas bagi memberi peluang untuk dirimu bertaubat.
Aku tahu engkau begitu menyesalkan dengan cinta masa lalumu yang penuh titik hitam. Dan pasti engkau risaukan tiada lelaki soleh yang akan memperisterikan dirimu.
Saudariku, percayalah masih ada lagi lelaki soleh di luar sana yang tidak akan kisah langsung dengan sejarah hitammu asalkan dirimu benar-benar bertaubat dan dapat menjadi isteri yang taat dan solehah padanya.
DUHAI SAUDARI SEISLAMKU, ISTIQAMAHLAH DALAM TAUBATMU, SABAR DAN JANGAN PUTUS ASA, KERANA PASTI ALLAH TELAH MENYEDIAKAN LELAKI YANG SOLEH BUAT MEMBIMBINGMU MENJADI ISTERI YANG SOLEHAH...

Friday, April 15, 2011

IMAN PELENGKAP KECINTAAN ~


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati" (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Diri manusia terbahagi kepada dua iaitu fizikal dan spiritual. Spiritual tersebut termasuklah akal, nafsu, perasaan dan yang paling utama ialah hati kerana tindakan, prilaku dan sikap seseorang dipengaruhi oleh hati.
Hati dan perasaan haruslah dijaga dari sifat-sifat yang merosakkan. Ia hendaklah dipandu ke arah jalan yang betul berdasarkan ajaran Islam yang sebenar. Jika tidak, hati akan dikuasai oleh nafsu dan syaitan yang menyebabkan pelbagai penyakit seperti hasad dengki, tamak, pemarah, riya' dan sebagainya. Maka untuk membersihkan hati yang kotor hendaklah membiasakan diri dengan berzikir, bertasbih dan bertahmid kepada Allah.
Seorang yang mencintai seseorang yang lain dalam keimanan, tidak akan menyiksanya, mengherdiknya, menghinanya. Sebagai contoh, seorang suami yang beriman kepada hari akhirat, akan tidak mampu menghina isterinya kerana takutkan balasan akhirat. Seorang suami yang beriman, akan takut hukuman Qazaf yang mana kesaksian orang yang memfitnah isterinya berzina tidak akan terpakai selama-lamanya andai tidak membawa saksi bersama-sama dengan tuduhan.

Begitu juga seorang Isteri yang beriman. Hatinya akan mencintai suaminya dengan nilai cinta yang sejati. Sebagai isteri, dia tidak akan membiarkan suaminya terjerumus ke neraka kerana dirinya. Dia akan bertahan dari mengumpat atau menceritakan kekurangan-kekurangan suaminya kepada orang yang tidak berhak. tambahan lagi jika dia menceritakan kekeruhan rumahtangganya di FACEBOOK!.
Sama sahaja andai seorang itu seorang PEMIMPIN, hatinya cantik andai dia berIMAN, seorang rakyat juga begitu, seorang anak, guru, murid, masyarakat, sebut siapa sahaja jenis manusia, andai IMANnya baik, hatinya baik, perlakuannya akan BAIK.
Tidak wujud seorang yang berperangai TERUK tapi dia mengatakan "Hatiku baik sebenarnya". Jika hati baik, perlakuannya akan menjadi baik.
Masuk ke SYURGA juga dengan hati, yakni hati yang sejahtera dan ucapan SALAM SEJAHTERA!
سَÙ„َÙ€ٰÙ…ٌ۬ Ù‚َÙˆۡلاً۬ Ù…ِّÙ† رَّبٍّ۬ رَّØ­ِيمٍ۬
"(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani"
(Surah Yasin 36: Ayat ke 58)

CABARAN KEHIDUPAN..


Hidup ini cukup indah. Penuh dengan misteri. Kata orang warna-warni. Adakalanya kita berduka, ada juga masanya kita gembira. Yang penting, dalam apa jua keadaan sekalipun, sentiasa ingat kepada Sang Pencipta, Allah s.w.t. Syukur dan sabar; 2 rahsia kejayaan.
Aku melontarkan pandangan ke laur tingkap. Cuaca begitu terang sekali. Ramai sungguh orang keluar menikmati teriknya mentari. Kukira di Malaysia situasinya berbeza. Kita menunggu sang suria beredar barulah kita menampakkan diri. Benar kata orang, kita hanya menghargai sesuatu itu bila kita kehilangannya.
Ok. Kali ini ingin aku kongsikan perbualanku dengan Mr. X tempoh hari.
Kala itu kami sedang menikmati hidangan istimewa di sebuah restoran.
"Pelik betul manusia ni, asyik mengeluhhhh je," Mr. X memulakan bicara.
"Mm..biasa la tu..apa yang peliknya?" Aku menjawab.
"Keluhan tidak menyelesaikan masalah... malah melambatkan proses menyelesaikan masalah."
"Well... bagaimana kalau keluhan itu adalah sebahagian dari proses menyelesaikan masalah?" Aku cuba menghangatkan sedikit perbualan.
"Jika begitu, kita perlu lihat semula kepada sirah.. ingat Khabbab Al-Art?"
Aku menganggukkan kepala. Khabbab Al-Art merupakan orang yang meminta Rasulullah s.a.w. berdoa supaya dilepaskan daripada kezaliman arab Quraisy. Lalu Nabi s.a.w mengingatkan Khabbab akan betapa umat terdahulu ujiannya jauh lagi hebat daripada ujian yang mereka hadapi ini.
"Masalah ni takkan habis... masalah ini akan sentiasa datang sebab kita ini hidup. Bukan hidup-hidupan," Mr. X menyambung bicaranya.
Aku mengiyakan. Tidak mahu menganggu ucapan Mr. X.
"Kereta hanya ada masalah jika kereta tu bergerak. Kalau dok kat umah je, memang tak jumpenya lampu isyarat, polis semua tu. Yang penting adalah kita kena persiapkan diri kita untuk menghadapi masalah ini. Kita di sini untuk menyelesaikan masalah, bukan untuk mencipta masalah."
"Setuju. Dan semakin matang kita semakin besar cabarannya. Cabaran membawa kereta tak sama seperti cabaran membawa lori," aku memotong Mr. X. meminjam analogi yang sama.
"Bagus.. Allah tidak akan memberikan sesuatu di luar kemampuan kita. Fikir dan zikir!" Mr. X menjawab sambil tersenyum.
Cabaran itu akan sentiasa hadir. Dan itulah gunanya kita, manusia yang dikurniakan akal untuk berfikir. Namun harus diingat, kata Hamka, hujung akal adalah pangkal agama. Akal ini ada hadnya.

hati sebesar cawan dan hati sebesar kolam ???


"Aduhai, kenapakah hidup aku selalu dirundung malang begini..?" lelaki muda itu berkeluh-kesah. Selama hidupnya, dia tak pernah merasakan ketenangan yang sebenar. Hatinya tidak pernah sepi daripada merasakan kerisauan.
Fikirnya, Tuhan tidak pernah sudi meminjamkan kedamaian hati padanya. Dia sangat cemburu apabila memandang sekeliling. Mereka bebas ketawa dan mudah tersenyum. Tapi dia? Dia hanya mampu tenggelam dalam dunia sepi dan resahnya sendiri.
Hatinya tidak mampu mengisi segala masalah yang menghimpit jiwanya. Lalu, selepas lelah dan puas berfikir, suatu hari dia melangkah longlai menuju ke hujung kampung. Niat hatinya, ingin menemui seorang lelaki tua.
Saban hari, wajah lelaki tua itu sentiasa kelihatan tenang. Damai sentiasa bertamu diwajahnya. Dia ingin sekali meminta rahsia. Lalu, dia terus berperi kepada lelaki tua tersebut.
Masalah keluh kesah dan kerisauannya didengari lelaki tua itu sambil tersenyum. Lalu dia mengajak lelaki itu ke suatu tempat iaitu ke tepi sebuah kolam yang besar sambil membawa sebiji cawan dan dua bungkus garam. Lelaki itu mengikut, walaupun hatinya sedikit hairan.
"Anak muda," lelaki tua itu bersuara.
"Ambillah cawan ini, isikanlah air dan masukkanlah sebungkus garam," ujarnya lagi. Lelaki itu yang dalam kebingungan hanya menurut.
Cawan diambil, air diisi dan garam dimasukkan. Kemudian lelaki tua itu berkata lagi.
"Sekarang kamu minumlah air tersebut," dalam bingung yang masih bersisa, lelaki itu mengikut kata lelaki tua itu.
" Apa rasanya?" tanya lelaki tua itu apabila melihat kerutan di dahi lelaki tersebut.
" Masin!"
Lelaki tua itu tersenyum lagi.
"Sekarang, kamu masukkan pula sebungkus garam ini ke dalam kolam itu. Kemudian kamu hiruplah airnya."
Lelaki tua itu menunjukkan arah ke kolam. Sekali lagi lelaki itu hanya mengikut tanpa menyoal. Air dicedok dengan kedua belah tapak tangan dan dihirup.
"Apa rasanya, wahai anak muda?" soal lelaki tua itu.
"Tawar, tidak masin seperti tadi," lelaki muda itu menjawab sambil mengelap mulut.
"Anakku, adakah kamu memahami kenapa aku meminta kamu berbuat begitu tadi?" tanya lelaki tua itu, sambil memandang tepat ke arah lelaki tersebut. Lelaki itu hanya menggeleng. Lelaki tua itu menepuk-nepuk bahu lelaki tersebut.
"Anakku, beginilah perumpamaan bagi diri kita dan masalah. Garam itu umpama masalah. Cawan dan kolam umpama hati kita. Setiap orang mempunyai masalah, ditimpa masalah dan diuji dengan masalah. Tetapi, kalau hati kita sebesar cawan, maka kita akan merasai pahitnya masalah itu, pedihnya hati kita dan keluh kesahnya kita."
"Tetapi kalau hati kita sebesar kolam, masalah tidak akan mengganggu kita. Kita masih boleh tersenyum sebab kita akan mengerti masalah bukan hadir untuk menyusahkan kita. Masalah dianugerahkan untuk kita berfikir, untuk kita muhasabah diri. Masalah dan ujian akan memberi hikmah kepada kita."
"Anakku, itulah rahsiaku. Aku sentiasa berlapang dada, aku sentiasa membesarkan jiwaku, supaya aku boleh berfikir tentang perkara-perkara lain dan masih boleh memberi kebahagiaan padaku. Aku tidak akan sesekali membiarkan hatiku kecil seperti cawan, sehingga aku tidak mampu menanggung diriku sendiri."
Maka, pada petang itu lelaki itu pulang dengan senyuman yang terukir di bibir. Dalam hati, dia berjanji akan sentiasa membesarkan jiwa dan berlapang dada.

kerana disitulah keindahan hidup..


Sering saya ungkapkan takdir sentiasa mengatasi tadbir. Justeru takdir itu daripada Allah Yang Maha Perkasa manakala tadbir daripada manusia yang lemah tidak berdaya.
Namun itu bukan bererti kita lemah dan pasrah... jadi "Jabariah" dalam hidup itu.
Atau mengaku super hingga terjebak dalam "Qadariah" ketika merasakan diri bebas daripada ikatan Allah.
Kita umat pertengahan - ahli sunnah yang gigih mengatur sebaik tadbir, sekali gus menghulur setulus doa untuk dikurniakan Allah sebaik takdir!
Sejak awal tahun lagi saya ditakdirkan banyak bersama remaja. Daripada anak-anak sendiri, mahasiswa IPTA dan IPTS , ekskutif, usahawan sehinggalah pengacara TV.
Banyak yang saya sampaikan dan banyak juga yang saya belajar.
Saya bersyukur kerana jiwa jadi lebih dinamik dan bertenaga ketika diterjah oleh pelbagai persoalan oleh mereka.
Antara soalan yang kerap ditanyakan ialah apa yang hendak kita lakukan apabila ada sahaja yang tidak kena dalam hidup ini.
Ada ketika-ketikanya, kita terasa apa yang dibuatnya serba tidak kena.
Pada hari, minggu atau bulan yang malang itu, kecelakaan seolah-olah datang timpa menimpa.
Bangun Subuh lewat, baca Quran luput, solat resah, dimarahi oleh bos, duit gaji lambat, bergaduh dengan kawan, tayar motosikal meletup dan macam-macam lagi.
Jadi, kalau demikian halnya, apa yang sebenarnya tidak kena?
Dan bagaimana hendak membetulkan keadaan? Hendak bermula dari mana? Wah, pening kepala dibuatnya.

Ubah keadaan luaran atau ubah diri sendiri?

Mungkin anda juga pernah mengalami situasi begini, dan tentu sahaja kita tercari-cari panduan bagaimana hendak membetulkan semula semua keadaan yang bercelaru itu?
Dalam apa jua keadaan, remaja hendaklah faham bahawa bila keadaan tidak seperti yang diingini, langkah kita bukanlah mengubah keadaan itu tetapi terlebih dahulu mengubah diri kita sendiri.
Ramai orang tersilap, justeru mereka hendak mengubah keadaan luaran sebelum mengubah diri sendiri.
Sunahtullahnya tidak begitu.
Dalam apa jua kondisi, mengubah diri itu perlu diutamakan kerana itulah yang akan mengubah keadaan yang kita hadapi.
Jadi, apabila berdepan dengan masalah kewangan, dimarah ayah-ibu, tayar motor yang meletup, bergaduh dengan kawan-kawan... hendaklah diingat, ubahlah diri kita sebelum cuba mengubah perkara-perkara yang di luar diri kita.
Pertama, remaja perlulah memahami bahawa kehidupan ini disusun dengan satu peraturan yang sangat rapi dan saling berkait rapat antara satu sama lain.
Peraturan ini dinamakan Sunnatullah.
Barat menamakannya 'law of nature'. Hukum Sunnatullah ini juga dikenali sebagai 'cause and effect' (sebab dan akibat).
Hukum ini bukan sahaja berlaku dalam bidang fizik, biologi, ekonomi dan lain-lain.
Malah ia juga berlaku dalam putaran kehidupan. Allah swt telah mengaturkan bahawa setiap akibat yang berlaku mesti mempunyai sebab atau punca.
Jika seseorang itu bersedih, tentu terdapat sebab-sebab yang menyebabkan dia bersedih.
Jika dia gembira, tentu terdapat sebab-sebab yang menyebabkan kegembiraan itu.
Oleh itu jika kita dapati kehidupan kita seperti serba tidak kena, maka hendaklah kita akui bahawa mesti terdapat sesuatu sebab yang menyebabkan keadaan yang serba tidak kena itu.
Sebelum mencari di mana penyebabnya, kita hendaklah terlebih dahulu mengakui akan ujudnya penyebab itu.

Membuang sikap ego

Tidak mungkin kita akan menemui sesuatu yang kita cari jika kita menafikan akan kewujudannya.
Jadi, langkah awal mengubat sesuatu yang tidak kena ini ialah membuang sikap ego.
Maksud ego di sini ialah kita mengatakan atau menganggap tiada 'penyebab-penyebab' pada keadaan yang serba tidak kena itu.
Ramai antara kita yang merasa ego, dengan berkata, "entahlah... saya tidak tahu apa yang tidak kena lagi, semuanya sudah saya lakukan, tapi gagal juga.
Dah nasib..." Atau ada yang berkata, " tak mungkin jadi begini, semuanya sudah ok sejak mula, tiba-tiba sahaja jadi begini?"
Cakap-cakap yang seumpama ini sungguhpun biasa kita dengar namun, jika diteliti ia jelas bermaksud yang penuturnya seolah-olah tidak mahu mengakui ada kesalahan yang menyebabkan sesuatu yang negatif berlaku.
Ada juga orang yang mengakui adanya penyebab-penyebab tertentu tetapi penyebab itu adalah orang lain. Bukan dirinya. Ini juga satu petanda ego.
"Saya tidak salah, yang salah bapa saya, kawan saya, motor saya..." Ketahuilah, sikap reaktif ini tidak akan menyelesaikan masalah.
Bahkan akan menambah masalah. Apa yang perlu kita cari ialah kesalahan diri kita sendiri.

Kehidupan kita, pilihan kita

Kita tidak boleh terus menyalahkan orang lain di atas apa yang menimpa kita. Hidup kita adalah tanggung jawab kita justeru apa yang berlaku dalam kehidupan adalah pilihan kita sebenarnya.
Orang boleh menimpakan sesuatu ke atas kita, hanya apabila kita 'mengizinkan' ia berlaku. Yang menyebabkan kita susah hati, bukan kemarahan teman-teman, tetapi apabila kita mengizinkan kemarahan teman itu menyusahkan diri kita.
Secara pro-aktif, kita boleh memilih respon kita pada sebarang situasi dalam hidup... Bila dimarahi, kita boleh memilih untuk sabar dan berdiam diri, atau marah dan bertindak-balas... terpulang!
Kitalah yang menjadi penyebab utama kepada berlakunya sesuatu akibat.
Kita perlu mengetahui, mengetahui dan mencari kesalahan itu dalam diri sendiri.
Oleh itu, bila ditimpa masalah maka muhasabah tentang perlakuan kita di semua dimensi.
Dimensi hubungan kita dengan Tuhan, manusia, pekerjaan, kewangan, kesihatan, tanggung jawab dan peranan yang telah diamanahkan bagi kita melaksanakannya.
Telitilah terlebih dahulu soal-soal besar dalam hidup kita tetapi jangan lupa... soal-soal kecil juga kadangkala memberi impak besar untuk menyumbangkan sesuatu yang tidak kena dalam kehidupan.

Kecil-kecil dan beransur-ansur

Sekali lagi diingatkan, dalam mencari penyebab-penyebab atau punca-punca masalah, kita jangan hanya bertumpu mencari penyebab-penyebab yang besar.
Sebaliknya carilah penyebab-penyebab yang kecil-kecil. Kita boleh umpamakan diri sebagai seseorang yang sedang berjalan.
Jarang orang terjatuh akibat terlanggar batu-batu besar.
Sebaliknya ramai yang terjatuh apabila terpijak batu-batu kecil, kulit pisang dan sebagainya. Penyebab-penyebab yang kecil sebenarnya boleh memberi 'impak' atau kesan yang beransur-ansur.
Kita mungkin tidak nampak atau tidak perasan pada awalnya, tetapi secara tiba-tiba sahaja keadaan sudah menjadi buruk.
Ingatlah, menyelesaikan masalah harus dilakukan persis bagaimana ia bermula.
Contohnya, berat badan kita tidak menambah 10 kilogram dalam jangka masa sehari dua.
Tetapi ia bertambah sedikit demi sedikit. Maka, untuk mengatasi masalah berat badan itu, tindakan untuk mengurangkannya pun mesti dilakukan secara beransur-ansur.
Adalah mustahil untuk mengubahnya secara mendadak.
Sesuatu yang runtuh secara beransur-ansur perlu dibina secara beransur-ansur juga. Barulah tindakan kita nanti akan berhasil.
Misalnya kita menghadapi masalah bajet yang tersasar daripada apa yang ditetapkan. Kita perlu sedar bahawa kebiasaannya 'terlebih bajet' ini bukanlah disebabkan 'kebocoran' perbelanjaan yang besar-besar.
Sebaliknya ia berpunca daripada sikap tidak mengambil berat perbelanjaan yang kecil-kecil – yakni wang yang kita keluarkan untuk membeli barang-barang yang tidak perlu tetapi murah harganya secara tidak menentu masanya.
Perbuatan inilah yang sebenarnya memberi kesan besar yang buruk kepada bajet kita.
Tawaran harga murah pada sesuatu barang menyebabkan kita mula hilang pertimbangan dan mula membeli bukan atas dasar keperluan, tetapi sebab murahnya barangan itu.
Begitu juga buat remaja yang menghadapi masalah kegemukan. Kegemukan tidak pernah berlaku secara drastik.
Ia berlaku secara beransur-ansur hingga ke satu tahap, barulah kita terkesan bahawa berat badan kita sudah 'over'.
Jangan cuba mengubahnya secara mendadak.
Kita pun mula bersenam secara 'maraton', menjalani skim diet yang terlalu ketat dan macam-macam lagi tindakan yang agresif dan ekstrem.
Apa jadi akhirnya? Kita kecewa, kita mengalah dan akhirnya berputus asa bila melihat kesannya tidak seberapa.
Ya, segalanya perlu diubah secara perlahan-lahan, misalnya dengan mengubah cara pengambilan makanan, menukar kepada menu yang sihat dan bersenam secara ringan tetapi konsisten.
Jangan sekali-kali membiarkan perut kosong pada jangka waktu yang lama, ini akan menyebabkan kita mudah mendapat penyakit ulser atau gastrik pula.
Oleh itu, bertindaklah secara bijak dan beransur-ansur. Ini lebih ringan dan realistik untuk mengubah keadaan! Seperkara lagi ketika hendak memulakan sesuatu proses perubahan, jangan sesekali kita memikirkan kesempurnaan.
Kelak, kita mungkin tidak akan memulakannya langsung. Oleh itu, bermulalah dengan membuat perkara-perkara yang kecil dahulu.
Untuk memperbaharui penampilan diri misalnya, janganlah diharapkan wajah, bentuk dan gaya anda seperti bintang filem dalam masa yang singkat.
Anda akan kecewa jika mengimpikan kesempurnaan yang semacam itu. Sebaliknya, buatlah yang terbaik pada skala diri anda sendiri. Jangan bandingkan kita dengan orang lain secara tidak sihat.
Cuba bayangkan penampilan diri sendiri yang paling bergaya, cantik dan menarik – jadilah anda yang terbaik.
Itu pun secara beransur-ansur. Jangan mengharapkan kesempurnaan, kerana ini akan membantutkan semangat anda untuk menangani masalah penampilan diri itu.
Elakkan daripada cepat berputus asa dan hendak melihat hasil yang segera.
Jangan naik anak-tangga secara berlari. Ada kalanya perubahan yang kita telah berbuat itu sudah pun menunjukkan kesannya, cuma ia belum kelihatan.
Konsep ini sama seperti ketika kita hendak mencairkan air batu dengan cara memanaskannya.
Menurut hukum fizik, sekiranya mula memanaskannya, molekul-molekul air itu sudah pun bergerak.
Tapi sedikit demi sedikit. Pada mulanya ia seakan-akan tidak ada tindak balas tetapi lama kelamaan, air batu tiba-tiba terus retak dan mula mencair.
Ya, barulah kesannya nampak, walaupun sejak mula memanaskannya tadi, sebenarnya itu telah pun memberi kesan, cuma tidak nampak...
Ingat, sikap hendak melihat kesan yang cepat menyebabkan kita mudah kecewa dan patah semangat di sekerat jalan.
Akhirnya, kita perlu sedar, hidup ini bagaikan satu siri gelombang yang datang secara bergilir-gilir.
Ada ketikanya, gelombang kecil dan tenang dan ada ketikanya gelombang itu besar dan ganas.
Pada ketika gelombang itu ganaslah, semuanya terasa serba tidak kena. Tuhan menetapkan bahawa setiap manusia itu tidak akan mendapat kesenangan sahaja atau kesusahan sahaja. Masing-masing daripada kita akan mengalami pasang-surut dalam hidup – ada masa senang, ada masa susah.
Justeru dalam kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu gembira kerana selepas kegembiraan itu mungkin muncul kesusahan.
Begitu juga kita tidak boleh terlalu sedih bila kesusahan kerana mungkin selepas itu Allah swt datangkan perkara-perkara yang menggembirakan.
Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini akan memberi ketenangan dalam hidup.
Apabila kita ditimpa kesusahan, rasakan dalam hari... ya, selepas ini akan datang kesenangan. Sabarlah sebentar.
Dan apabila datang kesedaran, kita tetap tidak alpa... ya, selepas ini akan datang kesusahan.
Bersiap-sedialah. Hakikatnya, tidak ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia ini.
Kehidupan adalah satu perubahan yang berterusan...
Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan itu tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu. Fahamilah hakikat ini.
Bila yang dibuat 'serba tidak kena' itulah hakikatnya satu kehidupan. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah. Hidup tidak selalu indah, justeru di situlah keindahan hidup!