Engkau kini berada di timur tengah. Jordan bumi
idaman. Engkau mendengar betapa terbukanya guru-guru di tanah ini, dan betapa
indahnya komuniti melayu yang ada. Dan guru-gurumu, hatta mudir turut
menggalakkan engkau ke mari. Membuatkan jiwamu berapi-api untuk menadah segala
mutiara di sini.
Engkau fokus dengan pengajian, di samping berusaha
membina peribadi.
Roh, akal dan jasad, engkau tempa agar menjadi
apa yang diarahkan Ilahi. Memang engkau tahu tidak akan mencapai sempurna,
tetapi engkau tahu jika engkau berusaha, akan menjadi lebih baik dari yang
sebelumnya.
Bukan itu sahaja fokusmu. Membina kekuatan agar
mampu menyara kehidupan juga engkau usahakan. Engkau memahami betapa hendak
membina keluarga, bukan hanya dengan perasaan. Tetapi dengan kemampuan.
“Interesting.”
“Isn’t it, Ayah?” Engkau sekadar meleret senyum. Engkau lihat Maisarah di sisi
Ibumu terkebil-kebil. Apa yang interestingnya? Mungkin itu yang sedang dia
fikir.
Engkau lihat kertas kerjamu diberikan pula kepada Ibu. Ayah memandang tepat
kepadamu.
“Perancangan ini, langsung tidak libatkan duit Ayah dan Ibu?” Ayah menajamkan
pandangan. Dia dengan gayanya, tegas. Gaya seorang yang berjaya. Yang tidak
pernah memanja-manjakan anaknya. Sekiranya dia melihat harta membuatkan anaknya
terpesong, dia tidak akan teragak-agak menariknya.
“Er, still perlu duit Ayah dan Ibu untuk taja pengajian Afeef. Masih perlu duit
saku.” Engkau garu kepala. Engkau sangka ayahandamu tersilap baca. Engkau sudah
nyatakan sedemikian di dalam kertas kerja.
“Ya. Itu Ayah tahu. Maksud ayah, untuk perkahwinan. Semuanya, majlis
pertunangan, majlis perkahwinan, bahkan untuk sara hidup keluarga selepas itu,
Ayah nampak Afeef letak itu semua di bawah tanggungan Afeef. Afeef dalam kertas
kerja kata, Afeef akan plan untuk cycle wang saku yang Ayah Ibu bagi, untuk
generate your own income.” Mata Ayah masih tidak melepaskan wajahmu. Dan engkau
mengangguk tanda benar akan bicaranya itu.
“Afeef mungkin tak berjaya. Tetapi Afeef nak buktikan yang Afeef ini seorang
yang berusaha. Bukan kemaruk nak kahwin sahaja.”
“Nice. Interesting. Ayah suka. Go on. Macam inilah anak Ayah.”
Engkau tersenyum lebar. Apatah lagi, Ayah sedang tersenyum sama. Engkau rasa
bahagia dapat membanggakan dia.
“Afeef, Ibu pernah jumpa dan pernah singgah rumah Atikah itu sebelum ini. Biasa
ambil Maisarah kalau ada program di Johor Bahru.” Ibu pula bersuara.
“Ya Ibu, Afeef tahu itu.”
“Budaknya baik, lembut. Wajahnya amatlah menyenangkan hati Ibu, akhlaknya
sangatlah cantik. Dia ibarat perempuan dari zaman lalu. Kalau Afeef benar
mahukan dia, Ibu setuju. Tetapi buktikanlah dahulu dirimu itu.”
“Baik Ibu!”
Maka engkau tidak sekadar bersenang lenang
meniti masa lapang sebagai pelajar universiti luar negara. Apatah lagi pelajar
deeniyah, punya banyak masa terluang. Sehari, hanya tiga jam sahaja waktu
kelas. Maka masa yang lebih, engkau susun sebaik mungkin.
Menadah ilmu tambahan di kelas-kelas masjid.
Menjalani usrah yang dianjurkan oleh persatuan. Seterusnya mengikuti
program-program kemasyarakatan yang disediakan. Membina hubungan dengan kenalan
baru. Seterusnya fokus menggerakkan projekmu.
“Penasyid,
tanpa alat musik. How it sound to you?”
“Hem. Interesting. Cool.” Maisarah angkat ibu jari.
Saban waktu terluang, engkau dengan kelebihan
suaramu yang sering menyihir pelajar asramamu sebelum ini, akan mendendangkan
lagu yang engkau sendiri cipta. Dirakamkan, dan dimuat naik ke YouTube. Engkau
bina Blog untuk bercerita pandanganmu akan dunia hiburan di Malaysia, juga
negara luar. Engkau promosikan pada rakan-rakanmu di Jordan.
Saban peluang muncul, jika ada acara besar yang
dianjurkan oleh persatuan, engkau akan berusaha mendapatkan tempat untuk
melakukan persembahan.
Perlahan-lahan, apa yang engkau buat mula
tersebar.
Penasyid tanpa alat musik, nyata memberikan
impak yang besar memandangkan perkara itu belum lagi popular di Malaysia.
Ditambah pula apa yang engkau alunkan itu adalah kalam-kalam yang mengingatkan
manusia kembali kepadaNya, memberikan manusia kesedaran agar hidup di dalam
peraturan Islam, mengejutkan manusia yang lena, memberikan harapan kepada yang
kecewa, dan memotivasikan jiwa. Nyata satu kombo yang menggegarkan mereka yang
mendengarnya.
Selepas beberapa bulan, video-videomu mencapai
ratusan ribu penonton. Blogmu kini dilawati ribuan orang saban waktu.
Pandangan-pandanganmu berkenaan hiburan mula menjadi perhatian dan diambil
berat. Engkau mula menjadi sebutan ramai.
“Afeef. Tahniah.”
“Em?” Engkau memandang mas’ul usrahmu,
Zakariyya. Usrah telah usai, engkau sahaja yang masih tinggal selepas yang lain
pulang. Sengaja. Engkau memang suka mendengar tambahan perkongsian daripada
sembang-sembang yang santai daripada para senior.
“Engkau popular sekarang aku tengok. Ramai
kenalan aku di Malaysia pun sibuk dengar nyanyian engkau di YouTube.”
“Alhamdulillah. Semua karunia adalah milik
Allah, senior.” Engkau tertunduk segan. Engkau sebenarnya kurang senang orang
berbicara akan karier nyanyianmu. Apatah lagi bila yang dibicarakan adalah
popularitimu.
Engkau menjaga jiwamu.
Kalau boleh, biarlah masyarakat sekeliling
memandangmu sebagai orang biasa. Bukan orang lain.
“Banyak lagi kena belajar dengan orang macam
senior.” Engkau menambah.
Senior Zakariyya tertawa. “Aku tak pandai
menyanyi.”
“Tetapi Senior pandai menawan hati yang jauh
dari Ilahi.”
“Kita ini sama sahaja Afeef. Sama sahaja.
Teruskan usaha engkau. Aku sentiasa menyokongmu.” Tangannya mencapai bahumu.
Engkau pulang ke rumah sewamu malam itu dengan
hati yang senang. Rasa syukur kepada Allah yang membukakan hati orang lain
untuk mendengar nyanyianmu, sekaligus menyebar luas lagi penyampaianmu.
Engkau sampai ke rumah, terus membuka komputer
ribamu. Memerhatikan perkembangan di blogmu. Tiba-tiba, satu perkara menarik
perhatianmu.
“Assalamu’alaikum Tuan Afeef. Kami dari
Syarikat MuminzMusic Record, di bawah seliaan Datuk Amir Ar-Rasyid. Kami
berhajat ingin menjadikan tuan penyanyi kami. Kami berhajat ingin menerbitkan
album tuan. Jika tuan sudi, sila hubungi kami di email…”
Dan selepas itu tidak dapat engkau baca, kerana
kini pandanganmu dihalangi genangan air pada mata. Perlahan-lahan air matamu
tumpah.
Allahuakbar!