Petala Kedua: Kenal Dia, kenal dia.
“Satu perkara yang remaja hari ini sering lupa
adalah, rumah tangga itu merupakan batu-bata kepada pembinaan ummah. Maka,
hendaklah rumah tangga itu sendiri dibina dengan binaan yang baik. Dan apakah
binaan yang lebih baik, selain ketaatan kepada Allah SWT? Sesungguhnya dosa dan
maksiat di atas jalan ini, hanya akan merapuhkan rumah tangga, sekaligus
menyumbang kepada kelemahan binaan ummat.” Cikgu Bahar berbicara.
Seminar Bait Muslim yang engkau ikuti selama
sehari suntuk, berakhir. Lafaz alhamdulillah keluar dari bibir. Menyedari hati
disapa cinta, engkau pergi mencari Dia. Engkau sedar ini bukan untuk kepuasan
nafsu semata-mata. Maka ilmu engkau penuhkan di dalam dada. Cinta membawa ke
rumah tangga, dan rumah tangga adalah batu asas kepada pembinaan ummah. Mustahil
dibangunkan dengan sambil lewa!
Betapa
telah terpatri di dalam jiwamu, tujuan penciptaan manusia adalah untuk
mengabdikan diri kepadaNya. “Tidak Aku
ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri(kepada Aku)” Surah Adz-Dzariyyat ayat 56.
Dan
engkau amat sedar, bahawa pengabdian itu bukan semata-mata memenjarakan diri di
dalam masjid, dan berteleku di atas tikar sejadah. Bahkan, pengabdian itu
termasuk menjadi pentadbir dunia, kerana Allah SWT juga berfirman: “Ingatlah ketika Tuhanmu berkata kepada para
malaikat, sesungguhnya Aku mahu jadikan di dunia ini khalifah.” Surah Al-Baqarah ayat 30.
Maka mustahil jalan cinta ini akan engkau lalui
dengan maksiat.
“Cinta biar dipandu dengan keimanan.” Begitulah pesan mudirmu, Ustaz Arif, saat engkau menamatkan
pengajian. Maka keimanan itulah yang engkau cuba perkemaskan.
Tidak pula engkau tinggalkan ruang ikhtiar.
Bukanlah engkau ini manusia yang membiarkan
urusan sebegini besar kepada Tuhan semata-mata. Fahaman tawakkalmu adalah
dengan usaha. Bukan menanti semata-mata. Jika benar jodoh itu tidak perlu
diusahakan, tidak perlu dicari, maka pastinya Allah SWT tidak berfirman di
dalam Al-Baqrah ayat ayat 221, akan arahan untuk tidak bernikah dengan
perempuan yang musyrik. Dan pastinya Rasulullah SAW tidak akan bersabda untuk
menggalakkan mencari pasangan yang baik agamanya.
Nyata, itu adalah isyarat daripada Allah dan
Rasul, agar manusia ‘mencari’ pasangannya. Bukan menunggu semata-mata.
Maka engkau berusaha. Sebelum menamatkan
pengajian, engkau bergerak untuk mengenalinya. Engkau pergi menemui guru-gurumu
yang mengetahui dirinya, maka engkau bertanya akan peribadinya. Engkau pergi
kepada warden asrama perempuan, engkau tanya akan kehidupannya. Adik
perempuanmu, Maisarah, hingga menjadi mata-mata.
“Oh, nama dia Atikah.” Bila engkau diberitahu
adindamu itu.
“Kak Atikah sangat baik tau Abang. Cuma dia
bukan ketua usrah la. Hafalan pun tak banyak.” Engkau mendengar adindamu
memberitahu. “Dia suka baca komik, tengok drama jepun, dan dengar lagu
inggeris.”
Engkau tersenyum. Perkara yang sama ada
diberitahu oleh guru-gurumu dan ustazahmu yang merupakan warden itu.
“Abang ni, tiba-tiba suruh tanya fasal Kak
Atikah, ada apa-apa ke? Tak pernah pun suruh orang jadi spy macam ini.” Maisrah
memandang dengan wajah curiganya yang comel itu.
Senyum engkau melebar. “Mahu ambil dia jadi
kakak ipar Maisarah.” Engkau angkat kening dua kali.
“Ha? Really?” Kedua-dua bahumu dipegang oleh
Maisarah. Sofa ruang tamu seperti bergegar dengan reaksi adindamu itu. Engkau
mengangguk.
“Habis, lepas tahu kekurangan-kekurangan dia
tadi, Abang still nak ambil dia?”
“Abang nak buat satu perkara dahulu sebelum
pergi ke luar negara, dan sebelum benar-benar buat keputusan ambil dia jadi
isteri.”
“Apa dia?”
“Nak ziarah rumah dia.”
Mata adindamu terbeliak. Engkau tertawa.
“Okay, tetapi rasanya Abang akan jumpa satu
lagi kekurangan dia.”
“Hem?” Engkau angkat kening sebelah. Hairan
dengan kenyataan itu.
“Keluarga dia sederhana sahaja. Tak macam
keluarga kita.” Kau lihat adindamu menebarkan pandangan ke sekeliling. Engkau
akhirnya turut melepaskan pandangan kepada ruang tamu.
Luas. Indah. Televisyen skrin flat plasma 43
inci, dengan set home theater, pokok-pokok hiasan yang menyenangkan, sofa yang
cantik lagi empuk, dan sempat engkau memanjangkan lehermu melepasi langsir
indah, memandang ke luar. Terdapat air pancur, dan taman hijau di
sekelilingnya, serta tiga buah kereta mewah yang diparkir tidak jauh dari
hadapan pintu rumah, walau di matamu kini hanya mampu menjengah sebuah sahaja
daripadanya.
“Takut Abang tawar hati.” Maisarah bersuara.
“Ai, cakap macam berharap Atikah itu jadi kakak
ipar sahaja.” Engkau menoleh kembali kepada adindamu.
“Dia cool kut. Maisarah suka yang cool.”
Adindamu mengangkat isyarat ‘peace’. Dan engkau tertawa senang hati.
“Kita tengok dulu macam mana.” Engkau sekadar
mengangkat keningmu dua kali. Gaya nakalmu yang telah bersebati dengan diri.
*******
“Jahatla Abang ni!” Pinggangmu dicuit Maisarah.
Engkau hanya mampu tersenyum di dalam kereta.
Sekarang baru sahaja mengambil pulang adindamu,
dari rumah Atikah yang engkau cinta. Senyum hingga ke bibir, kerana taktikmu
berjaya.
“Ada patut adik sendiri dijadikan decoy!”
“Oklah tu. At least you tak jadi toy.” Engkau
tertawa lagi.
“Jahat!” Bahumu ditepuk lagi.
Adindamu punya program di Johor Bahru. Dengan
suka rela, engkau sudi menjadi yang mengambilnya. Sengaja engkau tidak
membenarkan Ayah atau Ibu mengambil adindamu dari program seperti biasa. Kerana
kali ini engkau mengetahui yang adindamu akan menanti di rumah Atikah. Seperti
biasa. Tinggal sebelum ini, engkau tidak mengenali siapa Atikah.
“Senyum apa panjang-panjang. Angau!” Bahu
engkau ditepuk untuk sekian kali.
Engkau sekadar mampu menggeleng, sambil senyum
kekal pada bibir diri. Mata kekal pada pemanduan, dengan dua tangan kejap pada
stereng.
“Abang rasa, Abang nak ambil Atikah jadi isteri
abang.” Tiba-tiba engkau bersuara.
Engkau tidak melihat wajah adindamu, tetapi dia
senyap seketika. “Ha, sebab dah tengok dia cantik!” Kemudian baru dia bersuara.
Engkau menggeleng lagi. Kalau kerana cantik,
lebih baik dari kali pertama pandang, terus engkau masuk melamar. Bukan kerana
cantik.
“Kerana dia dan keluarga dia, sederhana.”
Senyuman engkau menghinggap telinga.
Engkau telah terbiasa dengan kemewahan dan
kebesaran. Kerana itu, engkau melalui alam remajamu dengan penuh rasa tinggi
dan angkuh. Engkau sering memandang rendah orang lain, dan tidak menganggap
mereka berharga. Hinggalah ayahandamu menghantar ke sekolah berasrama yang baru
sahaja engkau tinggalkan, yang mendidikmu akan Islam yang sebenar, sekaligus
membasuh jiwamu dengan akhlak langit. Namun sisa jahiliyyah masih ada, ditambah
keluargamu masih kaya dan orang kebesaran. Engkau kenal dirimu, yang masih
terbiasa dengan kehebatan. Menjadi ketua dalam pelbagai arena, sentiasa berjaya
dalam pelbagai perkara, ditemani puja dan puji, dan sering disimbahi
populariti.
Itu semua membentuk sebuah hati. Engkau kenal
dirimu, jauh di dalam hati engkau sebenarnya sunyi. Tidak kurang yang
menggelarmu berlagak, hanya kerana gaya engkau berbicara, cara engkau berjalan,
dan pakaian yang engkau kenakan. Kerana itu, sahabatmu hanya seorang, itulah
dia Hazwan yang tua setahun daripadamu. Ketiadaannya di sisi, menyedarkan
engkau hanyalah seorang yang sunyi. Kalaulah bukan kerana wujudnya Ilahi, pasti
engkau telah membunuh diri kerana kesunyian ini.
Tetapi hari ini, seakan kepingan yang tidak
lengkap di dalam hatimu terisi. Saat engkau menjengah ke rumah Atikah yang
sederhana. Tidak besar, tetapi seperti syurga. Bersinar dengan akhlak ibu
bapanya yang mesra.
Ditambah dengan betapa pemalunya Atikah, hingga
dia kekal di balik tabir yang memisahkan dapur, tidak keluar hatta menatang
dulang seperti dalam drama-drama. Engkau bukan tidak pernah singgah ke rumah
kenalanmu sebelum ini. Tetapi adik-adik atau kakak-kakak perempuan mereka
sering teruja untuk menunjukkan diri kepadamu. Nyata, siapa yang tidak kecoh
jika anak orang besar sepertimu bertandang.
Tetapi itu tidak berlaku kepada Atikah. Tidak
juga kepada Ibu Bapanya. Hal ehwal jawatan Ayah dan Ibumu tidak disentuh
langsung. Ibu bapanya, tatkala berbicara, nyata terpapar kefahaman mereka yang
ampuh akan Islam, dan cita-cita mereka yang tinggi terhadapnya. Bicara mereka
seperti mutiara, penuh dengan nuansa Islam dan tidak pula membicarakan yang
sia-sia.
Rumah mereka kecil, tetapi mereka bahagia!
Engkau jatuh cinta.
“Jadi, apa Abang mahu buat?” Maisarah bertanya.
“Kertas kerja.”
“Ha?”
No comments:
Post a Comment